Friday 12 December 2014

JENIS-JENIS AYAT DALAM BAHASA MELAYU
PENGENALAN
Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.Ayat di gunakan bagi menyatakan maklumat, membuat pertanyaan , memberi arahan , dan menunjukkkan perasaan.Terdapat empat jenis ayat dalam bahasa Melayu iaitu

(1) Ayat Penyata
(2) Ayat Tanya
(3) Ayat Perintah
(4) Ayat Seru

AYAT PENYATA
Ayat yang digunakan untuk menyatakan maklumat dan dalam ayat penyata ada maklumat ditekankan. Ayat ini diucapkan tanpa mengharapkan jawapan atau gerak balas sama ada yang bersifat kebahasaan atau yang bersifat perbuatan. Ayat ini boleh terdiri daripada daripada sebuah klausa atau lebih. Jenis ayat ini dihuraikan berdasarkan intonasi dan tujuan. Intonasi dapat menentukan jenis ayat dan dapat membezakan bahagian subjek dan predikat dalam ayat. Dalam ayat lisan, ayat penyata diakhiri dengan nada turun sebelum kesenyapan. Asmah Haji Omar pula membahagikan bentuk ayat penyata
iaiyu ayat penyata perbuatan dan ayat penyata keadaan/statif.
Contoh:
1   1.   Mereka berkumpul di padang sekolah.
     2. Orang Inggeris itu fasih berbahasa Melayu.
     3. Bangunan sekolah itu sudah tua.
     4. Pemuda itu membawa ibunya ke klinik.


AYAT TANYA

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu dengan tujuan mendapatkan jawapan. Jawapan boleh berupa penjelasan atau ya/tidak.

Jenis-jenis Ayat Tanya

a) Ayat Tanya Tertutup
 Ayat tanya tertutup ialah ayat yang meminta jawapan yang tegas iaitu ya atau tidak/bukan.
Contoh :
 1. Kau mahu ikut atau tidak?
      2. Adakah kamu sakit?

b) Ayat Tanya Terbuka
Ayat tanya terbuka mengkehendaki jawapan yang berupa penerangan. Ayat tanya ini ditandai dengan adanya kata tanya seperti apa, siapa, bagaimana, mengapa, dan lain-lain lagi. Letak kata tanya boleh berpindah sama ada di awal atau akhir ayat. Contoh :
1.   Apakah yang dibeli oleh emak?
2. Kamu ini siapa?
     3. Siapakah gadis yang berbaju biru itu?

c) Ayat Tanya Retorik/Tempelen
Ayat tanya ini tidak memerlukan jawapan dan hanya digunakan apabila penanya ingin memastikan jawapan yang sebenar telah diketahui. Ayat tanya ini terbentuk melalui proses campuran antara ayat dasar dengan kata nafi.
Contoh:
1.   Dia sepupu kamu, bukan?
2.   Kamal, datang tidak?

AYAT PERINTAH
(1) Ayat Perintah Biasa

Abdullah Hassan ( 2005:190) meyatakan ayat perintah biasa, walaupun tidak mempunyai subjek, tetapi pada struktur dalamnya memang ada. Dalam penggunaan ayat perintah biasa bagi orang kedua, subjek pelakunya lazimnyaa tidak timbul pada struktur permukaannya. Sekiranya seorang pengawal yang berkawal pada waktu malam melihat orang berjalan-jalan, mungkin memberi perintah ”berhenti ”. Ayat asalnya ” kamu berhenti”

(2)Ayat Sila
Berlainan daripada perintah biasa kerana golongan ini lebih halus cakupannya. Ayat ini menggunakan kata seperti sila, tolong, minta, bolehkah, dan lain-lain lagi. Contoh:sila duduk

(3) Ayat Ajakan
Ayat ini juga mempunyai subjek yang terdiri dari orang pertama, jamak tetapi di gugurkan Contoh:
a) Mari (kita) bermain
b) Mari bermain

(4) Ayat Larangan
Larangan adalah ayat perintah negatif dengan menggunakan kata larangan seperti jangan, dilarang,usah, tak usah dan ditegah, Contoh:
1. Jangan membuang sampah.
2.Usah pergi.

AYAT SERUAN
Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, sakit, dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarkan dengan tulisan dengan tanda seru (!) yang biasanya terletak di akhir ayat, sama ada ayat itu didahului oleh kata seru atau tidak. Contohnya:
Wah, lawanya!
Cis, jahat betul dia itu!
Nah, ambil ni!

No comments:

Post a Comment