Friday 12 December 2014

JENIS-JENIS AYAT DALAM BAHASA MELAYU
PENGENALAN
Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.Ayat di gunakan bagi menyatakan maklumat, membuat pertanyaan , memberi arahan , dan menunjukkkan perasaan.Terdapat empat jenis ayat dalam bahasa Melayu iaitu

(1) Ayat Penyata
(2) Ayat Tanya
(3) Ayat Perintah
(4) Ayat Seru

AYAT PENYATA
Ayat yang digunakan untuk menyatakan maklumat dan dalam ayat penyata ada maklumat ditekankan. Ayat ini diucapkan tanpa mengharapkan jawapan atau gerak balas sama ada yang bersifat kebahasaan atau yang bersifat perbuatan. Ayat ini boleh terdiri daripada daripada sebuah klausa atau lebih. Jenis ayat ini dihuraikan berdasarkan intonasi dan tujuan. Intonasi dapat menentukan jenis ayat dan dapat membezakan bahagian subjek dan predikat dalam ayat. Dalam ayat lisan, ayat penyata diakhiri dengan nada turun sebelum kesenyapan. Asmah Haji Omar pula membahagikan bentuk ayat penyata
iaiyu ayat penyata perbuatan dan ayat penyata keadaan/statif.
Contoh:
1   1.   Mereka berkumpul di padang sekolah.
     2. Orang Inggeris itu fasih berbahasa Melayu.
     3. Bangunan sekolah itu sudah tua.
     4. Pemuda itu membawa ibunya ke klinik.


AYAT TANYA

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu dengan tujuan mendapatkan jawapan. Jawapan boleh berupa penjelasan atau ya/tidak.

Jenis-jenis Ayat Tanya

a) Ayat Tanya Tertutup
 Ayat tanya tertutup ialah ayat yang meminta jawapan yang tegas iaitu ya atau tidak/bukan.
Contoh :
 1. Kau mahu ikut atau tidak?
      2. Adakah kamu sakit?

b) Ayat Tanya Terbuka
Ayat tanya terbuka mengkehendaki jawapan yang berupa penerangan. Ayat tanya ini ditandai dengan adanya kata tanya seperti apa, siapa, bagaimana, mengapa, dan lain-lain lagi. Letak kata tanya boleh berpindah sama ada di awal atau akhir ayat. Contoh :
1.   Apakah yang dibeli oleh emak?
2. Kamu ini siapa?
     3. Siapakah gadis yang berbaju biru itu?

c) Ayat Tanya Retorik/Tempelen
Ayat tanya ini tidak memerlukan jawapan dan hanya digunakan apabila penanya ingin memastikan jawapan yang sebenar telah diketahui. Ayat tanya ini terbentuk melalui proses campuran antara ayat dasar dengan kata nafi.
Contoh:
1.   Dia sepupu kamu, bukan?
2.   Kamal, datang tidak?

AYAT PERINTAH
(1) Ayat Perintah Biasa

Abdullah Hassan ( 2005:190) meyatakan ayat perintah biasa, walaupun tidak mempunyai subjek, tetapi pada struktur dalamnya memang ada. Dalam penggunaan ayat perintah biasa bagi orang kedua, subjek pelakunya lazimnyaa tidak timbul pada struktur permukaannya. Sekiranya seorang pengawal yang berkawal pada waktu malam melihat orang berjalan-jalan, mungkin memberi perintah ”berhenti ”. Ayat asalnya ” kamu berhenti”

(2)Ayat Sila
Berlainan daripada perintah biasa kerana golongan ini lebih halus cakupannya. Ayat ini menggunakan kata seperti sila, tolong, minta, bolehkah, dan lain-lain lagi. Contoh:sila duduk

(3) Ayat Ajakan
Ayat ini juga mempunyai subjek yang terdiri dari orang pertama, jamak tetapi di gugurkan Contoh:
a) Mari (kita) bermain
b) Mari bermain

(4) Ayat Larangan
Larangan adalah ayat perintah negatif dengan menggunakan kata larangan seperti jangan, dilarang,usah, tak usah dan ditegah, Contoh:
1. Jangan membuang sampah.
2.Usah pergi.

AYAT SERUAN
Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk tujuan melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, sakit, dan sebagainya. Intonasi seruan ini digambarkan dengan tulisan dengan tanda seru (!) yang biasanya terletak di akhir ayat, sama ada ayat itu didahului oleh kata seru atau tidak. Contohnya:
Wah, lawanya!
Cis, jahat betul dia itu!
Nah, ambil ni!

Tuesday 2 December 2014

KEPENTINGAN PENGGUNAAN BLOG DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Definisi blog

Blog merupakan satu portal online yang digunakan untuk menyatakan pendapat peribadi tentang pelbagai perkara. Konsep blog seakan-akan sebuah diari harian. Blog sangat mudah digunakan dan diuruskan tanpa perlu memiliki pengetahuan teknikal yang mendalam tentang komputer. Laman sosial dan blog dikatakan telah memberikan pelbagai keburukan kepada golongan remaja terutamanya pelajar sekolah. Walaubagaimanapun, keburukan dan kebaikan dalam sesuatu perkara ditentukan oleh diri sendiri. Apa yang pasti, blog mendatangkan banyak kebaikan berbanding keburukan terutamanya kepada guru dan pelajar.

Kepentingan blog kepada guru

Guru boleh membuat sebarang pengumuman berkaitan mata pelajaran yang diajar. Guru juga boleh memberikan sesuatu tugasan berkaitan mata pelajaran melalui tulisan dalam blog sekiranya tidak dapat hadir semasa pembelajaran di sekolah. Melalui cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan tanpa sebarang masalah dari segi masa selain dapat meningkatkan kualiti pendidikan yang sedia ada di negara kita.

Kepentingan Blog Kepada Pelajar

Mendorong pelajar untuk berkongsi sesuatu maklumat dengan pelajar di sekolah-sekolah lain. Melalui blog, pelajar dapat berkongsi pengetahuan, pengalaman, perasaan, pendapat dan lain-lain dengan menggunakan tulisan, gambar, mahupun maklumat berbentuk video. Blog merupakan laman untuk mencoretkan idea yang terpendam selain menjadi laman untuk berkarya. Idea dan karya yang baik boleh diiktiraf agar pelajar lebih terdorong untuk meluahkan apa yang ada dalam pemikiran mereka. Penghargaan tidak hanya berbentuk material bahkan, boleh juga berbentuk pujian serta kritikan yang membina.

Kelebihan blog

Menggalakkan perkembangan bahasa terutamanya bahasa Inggeris melalui pemaparan tulisan dalam blog yang ditulis.
Membolehkan pelajar membiasakan diri dengan aplikasi komputer termasuklah seni kemahiran reka digital, mencipta blog.
Mempercepatkan proses pendidikan berasaskan kadar  kebolehan pelajar.  Melalui blog, pelajar tidak cepat bosan untuk belajar blog merupakan satu bentuk teknologi pembelajaran yang baru.Cara pembelajaran yang interaktif ini, membuatkan pelajar lebih gemar untuk belajar semasa berada di rumah dan tidak membuang masa mereka dengan membuat perkara yang tidak berfaedah.

Blog juga boleh melatih pelajar menulis dalam pelbaga bahasa yang mereka sukai. Setiap info yang ditulis dalam blog bleh dikritik dan menjadikan pelajar yang menulis dalam blog lebih matang dari segi penulisan. Pelajar akan lebih tertarik untuk memaparkan hasil penulisan dan karya mereka ke dalam blog bagi menjadi tatapan umum.
Membolehkan pelajar berkomunikasi secara global. Pelajar sekolah boleh berkenalan dengan pelajar dari seluruh pelosok dunia dan dapat menambahkan ilmu pengetahuan mereka yang telah sedia ada. Selain itu, mereka juga dapat mengetahui teknk belajar yang lebih berkesan melalui rakan-rakan dari negara yang berlainan.Kebaikan ini membolehkan minda pelajar lebih terbuka dengan keadaan dunia luar dan dapat memgetahui sesuatu berita dari sumber yang betul, bukannya melaluikhabar angin.
Dapat memperkenalkan teknologi terkini kepada pelajar.Blog merupakan satu kaedah pembelajaran yang baru dan harus digunakan secara meluas sebagai alat bantuan pembelajaran kepada guru selain menjimatkan masa untuk mengajar. Sebarang maklumat yang baru dan berfaedah dapat diakses secara terus melalui blog yang dibuat oleh guru. Pelajar tidak perlu lagi untuk membuat ulangkaji secara bersendirian tanpa memperolehi maklumat yang lengkap
Pelajar dapat menjimatkan masa untuk berbincang di luarwaktu sekolah. Melalui blog, pelajar tidak perlu berjumpa untuk membincangkan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru. Selain itu, perkongsian pendapat dan sebarang masalah tentang sesuatu mata pelajaran boleh diutarakan. Pelajar tidak perlu lagi keluar dari rumah untuk mengadakan sesuatu perbincangan. Masa dan tenaga dapat dijimatkan selain memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak dan mendalam
Dapat meningkatkan minat belajar kepada para pelajar. Remaja merupakan golongan yang gemar untuk mencuba sesuatu yang baru dan lebih suka belajar di luar bilik darjah. Melalui blog, pelajar tidak mudah jemu untuk belajar dan membaca. Hal ini kerana, mereka boleh melayari internet sekiranya telah penat belajar. Konsep pembelajaran seperti ini membuatkan pelajar lebih gemar belajar walaupun di luar waktu sekolah.